Halaman

Klik Sini

Ahad, Mac 04, 2012

Cerita Menarik

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Didoakan agar pembaca sihat wal afiat dan dilindungi Allah swt sentiasa. Sebuah cerita yang menarik untuk dikongsikan bersama dengan anda. Semoga mendapat manfaat.


Kisah Cahaya Matahari & Hutang

Ada seorang lelaki yang kaya berada dalam keadaan sakit tenat. Doktor mengatakan bahawa hidupnya sudah tidak lama dan akan meninggal dunia. Maka, dia telah mewasiatkan perusahaan kepada dua orang anaknya, iaitu Ali dan Adi. Beliau berharap agar kedua-dua anaknya akan menguruskan perniagaan yang diwariskan dengan lebih berjaya lagi.

Lelaki kaya itu memaklumkan kepada anaknya bahawa setiap seorang daripada mereka akan mendapat perniagaan yang perlu diusahakan. Dia berpesan agar anaknya menguruskan perniagaan itu dengan sebaik-baiknya. Selain itu, dia juga sempat berpesan kepada anaknya untuk mematuhi dua syarat dalam perniagaan jika mahu berjaya sepertinya. Syarat pertama ialah jangan keluar bekerja apabila matahari telah tinggi, dan syarat kedua pula, jangan mengutip hutang yang diberi kepada pelanggan.

Tidak lama selepas itu lelaki kaya tersebut meninggal dunia. Jadi, mereka berdua telah menggantikan tempat ayah mereka dalam urusan perniagaan yang telah diwariskan. Sementara ibunya pula telah pulang ke kampung halaman dan membiarkan anak-anaknya meneruskan perniagaan seperti yang telah diwasiatkan. Selepas dua tahun, si ibu telah kembali ke kota dan melawat rumah anak sulungnya, iaitu Ali. Lalu si ibu bertanya tentang perusahaan yang telah mereka uruskan selepas kematian ayahnya.

Ali menjawab dan memaklumkan kepada ibunya bahawa perusahaannya itu sudah jatuh muflis. Ibunya bertanya sebab mengapa perusahaan itu jatuh muflis. Ali mengatakan bahawa syarat yang dipesan oleh ayahnya kepada beliau telah dipatuhi. Dia tidak pernah keluar bekerja apabila waktu tengahari. Hanya kerana dia tidak boleh memandu kereta, dia hanya tahu membawa motorsikal sahaja. Maka, dia terpaksa menaiki teksi ke pejabat setiap hari sehingga menyebabkan banyak wang perniagaan dihabiskan untuk membayar tambang teksi sahaja.

Ali juga mengikuti pesan ayahnya yang kedua iaitu tidak memungut hutang dengan pelanggan. Jadi, wang perusahaan telah habis dibelanjakan dan dia sendiri tidak pernah memungut hutang dari pelanggan. Perkara ini telah menyebabkan wang perniagaan telah habis. Ibunya mengeleng kepala kecewa  sambil berlalu pergi.

Pada keesokan harinya, si ibu telah pergi ke rumah Adi pula. Setelah bertemu, si ibu bertanya keadaan perniagaan yang diuruskannya. Si ibu juga memaklumkan bahawa perniagaan Ali telah jatuh muflis. Adi dengan senang hati mengatakan bahawa perniagaan yang diusahakannya semakin maju. Dia juga telah mendapat keuntungan lima kali ganda daripada harta yang telah diwariskan arwah ayahnya dahulu. Lalu si ibu bertanya apakah rahsia kejayaannya sehingga mencapai tahap sedemikian.

Adi menjawab dengan mengatakan bahawa dia mengikuti pesan ayahnya sebelum meninggal. Dia tidak pernah terkena sinar matahari kerana dia keluar rumah sebelum matahari terbit lagi. Dia hanya akan pulang ke rumah selepas matahari terbenam. Maka, dia tidak pernah terkena sinar matahari. Pesanan ayahnya yang kedua juga dipatuhi, dia tidak pernah meminta hutang kerana dia tidak memberikan pelanggan berhutang dengannya. Kerana itu dia tidak pernah mengutip hutang dan ianya sama seperti pesanan si ayah. Si ibu tersenyum puas dengan kejayaan anaknya itu. 

Apa pengajaran daripada cerita di atas? Sebarang ulasan amatlah dialu-alukan.

Wasalam.

AdzuLiza
10 RabiulAkhir 1433H

1 ulasan:

  1. Bagus cerita, byk pengajaran yang kita dapat.

    -areff-

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...