Halaman

Klik Sini

Isnin, Februari 20, 2012

Dividen KWSP 6%

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Didoakan agar semua pembaca sihat wal afiat dan dilindungi Allah swt sentiasa.

Berikut maklumat yang berkaitan.


KWSP Isytihar Kadar Dividen 6.00 Peratus Untuk 2011 Tertinggi Dalam Sedekad. Bayaran Dividen RM24.47b daripada Pendapatan Pelaburan Kasar RM27.24b

Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kelulusan Menteri Kewangan mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.00 peratus, tertinggi dalam tempoh 10 tahun untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011. Kadar dividen ini meningkat sebanyak 20 mata asas daripada 5.80 peratus yang dibayar pada 2010 atau bersamaan RM24.47 bilion yang diagihkan kepada ahli-ahli KWSP.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Tahun 2011 menandakan satu lagi pencapaian baik KWSP. Walaupun persekitaran pelaburan yang mencabar, ia merupakan prestasi terbaik sejak tahun 2001 hasil strategi pelaburan jangka panjang dan berhemah KWSP berserta dengan usaha berterusan pasukan pelaburan KWSP.”

KWSP terus menunjukkan pencapaian yang lebih baik pada 2011 dengan memperoleh pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM27.24 bilion, meningkat 13.18 peratus daripada 2010. Bayaran dividen sebanyak RM24.47 bilion diperoleh setelah ditolak elaun rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi, caj berkanun dan bayaran dividen pengeluaran, bertambah sebanyak 13.23 peratus berbanding RM21.61 bilion pada 2010.

“Sementara pelaburan berpendapatan tetap memberikan pulangan yang stabil, prestasi keseluruhan KWSP sebahagian besarnya disumbangkan oleh perolehan dalam kedua-dua ekuiti tersenarai awam domestik dan global serta program pengurusan yang aktif. Prestasi kukuh selepas krisis kewangan 2008 membuktikan komitmen KWSP dan pendekatan berdisiplin dalam pelaburan. Walaupun KWSP tidak boleh menjamin dapat mengekalkan prestasi pelaburan ini dalam suasana ekonomi global dan pasaran tidak menentu, KWSP komited untuk melindungi dan memberi nilai tambah kepada simpanan persaraan ahli khususnya dalam menghadapi tekanan inflasi,” kata Tan Sri Samsudin.

Setakat 31 Disember 2011, jumlah aset pelaburan KWSP terus mencatatkan pertumbuhan sihat sebanyak 6.52 peratus kepada RM469.22 bilion daripada RM440.52 bilion pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini disumbangkan sebahagian besarnya oleh caruman tahunan bersih yang positif daripada ahli dan majikan serta prestasi pelaburan yang konsisten dan menggalakkan.

Selaras dengan tumpuan untuk memberikan pulangan yang stabil bagi jangka panjang, KWSP terus melabur sebahagian besar aset pelaburannya atau 60.79 peratus dalam instrumen berpendapatan tetap yang berisiko rendah dan stabil. Sejajar dengan pendedahan risiko yang boleh diterima, 35.64 peratus jumlah aset dilaburkan dalam Ekuiti sementara baki 3.18 peratus dan 0.39 peratus diperuntukkan kepada Instrumen Pasaran Wang dan Hartanah.

Ekuiti merupakan penyumbang pendapatan terbesar sebanyak RM13.29 bilion atau 48.81 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan. Ini diikuti oleh Pinjaman dan Bon, Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Instrumen Pasaran Wang, masing-masing menyumbang RM7.54 bilion, RM5.63 bilion dan RM656.36 juta. Baki sebanyak RM115.41 juta atau 0.43 peratus disumbangkan oleh Hartanah dan Pendapatan Pelaburan Lain.

“Oleh kerana pegangan KWSP banyak tertumpu dalam aset berpendapatan tetap, sebahagian besar pulangan dipengaruhi oleh arah aliran kadar faedah. Dalam persekitaran kadar faedah yang rendah, ia merupakan satu cabaran kepada KWSP untuk memaksimumkan pulangan. Justeru, KWSP telah secara beransur-ansur dan berhati-hati beralih kepada aset yang memberikan pulangan lebih tinggi dengan had risiko yang boleh diterima.  Strategi ini telah memberikan kesan yang baik, melebihi jangkaan KWSP kerana berjaya mengatasi kadar simpanan tetap  dan faedah semasa,” kata Tan Sri Samsudin.

“Salah satu pencapaian utama aktiviti pelaburan KWSP pada 2011 ialah penyelesaian pengambilalihan bersama (dengan Kumpulan UEM) PLUS Expressway Berhad melalui  syarikat pelaburan bersama PLUS Malaysia Sdn. Bhd. Selain itu, KWSP juga telah meluaskan pelaburan global dalam Hartanah, Ekuiti dan Sukuk. Perluasan ini adalah selaras dengan objektif dan strategi pelaburan yang berpandukan Alokasi Aset Strategik dan Rangka Kerja Pengurusan Risiko KWSP,” tambah beliau.

Berikutan bilangan ahli yang bertambah, sebanyak RM4.08 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen pada 2011. Ini merupakan peningkatan sebanyak 9.44 peratus berbanding RM3.73 bilion yang dibayar untuk setiap satu peratus  kadar dividen bagi tahun 2010. (Rujuk Lampiran 2, Carta 1). Amaun yang diperlukan untuk membayar satu peratus dividen akan terus meningkat 8 hingga 9 peratus setiap tahun.

“KWSP  menjangka saiz dana akan mencecah setengah trilion ringgit menjelang akhir tahun ini atau pada awal tahun hadapan. Sebagai sebuah dana persaraan, KWSP berpegang teguh kepada objektif pelaburan jangka panjang dan strategi pelaburan berhemah untuk kepentingan persaraan ahli,” kata Tan Sri Samsudin. Ahli boleh mendapatkan Penyata Kira-kira KWSP mereka untuk menyemak pengkreditan dividen 2011 melalui Kios KWSP, kaunter atau i-Akaun mulai Isnin, 20 Februari 2012.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya. Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Wasalam.

AdzuLiza
27 RabiulAwal 1433H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...