Halaman

Klik Sini

Rabu, Februari 08, 2012

Kaya atau Senang? Buat D.U.I.T 2

 
Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Didoakan agar semua pembaca sihat wal afiat dan dilindungi Allah swt sentiasa.

Pada saya tajuk di atas sentiasa menarik perhatian pembaca sekarang. Ini kerana untuk menjadi kaya atau senang adalah merupakan impian semua manusia dan juga saya. Siapa tidak mahu jadi kaya dan senang kan? Akan tetapi terdapat perbezaan di antara menjadi kaya atau senang. Ianya berbalik kepada keadaan dan situasi empunya diri masing-masing. Anda mahu yangmana?

Saya sebenarnya ingin menyambung kembali penulisan saya mengenai D.U.I.T. yang telah saya tulis tempoh hari.

Perkara yang kedua bagi yang nak duit ialah;

Usaha

Ada pepatah selalu mengatakan yang usaha adalah tangga kejayaan dan saya tidak pernah lagi dengar yang malas berusaha juga tangga kejayaan. Jadi poin yang utama yang ingin saya maklumkan pada semua pembaca ialah jikalau kita nakkan duit, kita mesti berusaha a.k.a bekerja. Dengan bekerja barulah kita boleh mendapat duit melainkan kita adalah dari keturunan jutawan atau kaya raya. Itupun kita juga masih perlu berusaha untuk menggunakan kekayaan tersebut untuk sama ada untuk kebaikan ataupun sebaliknya. Terpulang kepada anda untuk menentukannya. Berbalik kepada poin tadi, kita mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencari kesenangan di dunia dan akhirat dengan cara halal dan baik.

Ini kerana jika pembaca ada membaca entri saya sebelum ini, setiap perkara yang kita lakukan mestilah dengan jujur dan amanah kerana setiap perlakuan dan perbuatan kita akan sentiasa dinilai oleh Allah swt. Jadi beringatlah ye. Tidak kira apa jua perkara atau bidang kerja yang anda lakukan, mestilah dengan berusaha dan barulah memikirkan akan ganjarannya. Ini kerana yang memberi rezeki adalah Allah swt.

dan kita pergi kepada poin yang ketiga ialah;

Istiqomah

Maksud istiqomah ini ialah konsisten dan berterusan. Ia juga boleh membawa maksud fokus. Kita perlulah sentiasa istiqomah dengan apa kita usahakan. Dan yang paling penting ialah istiqomah dengan perkara yang sesuai dan sebati dengan kita barulah kita akan sentiasa boleh untuk fokus. Masalah sebahagian manusia mutakhir ini ialah mereka tidak sentiasa istiqomah dengan usaha mereka serta mudah untuk mengikut apa yang orang lain buat tanpa mempunyai ilmu dan mulalah menyalahkan takdir atau Allah swt. Ini adalah satu kesilapan yang amat nyata kerana sepertimana yang saya tuliskan sebelum ini, setiap rezeki adalah daripada Allah swt. Kita mesti sentiasa bermuhasabah diri mengapa kita tidak dapat apa yang diidamkan.

Kadang kala ada sebab-musabab mengapa kita tidak dapat menggapai impian. Anda kena ingat bahawa apa tujuan anda sebenarnya. Adakah apakah yang anda lakukan hanya kerana Allah swt atau sebaliknya. Suka saya ingatkan bahawa kita perlu istiqomah membuat sesuatu perkara sehinggalah berjaya dalam bidang yang diceburi.

Selain itu, kita juga mestilah sentiasa istiqomah untuk menambah ilmu kerana dengan ilmu sahajalah yang dapat mengelakkan daripada melakukan kesilapan dan janganlah malu bertanya kepada yang lebih arif dengan perkara yang ingin anda lakukan. Carilah mentor yang sesuai kerana mereka inilah yang akan sentiasa menasihat dan memberikan motivasi yang positif untuk memajukan diri sendiri.

Tawakal.

Pembaca yang dirahmati Allah swt, poin yang terakhir adalah mengenai tawakal. Selepas kita sudah melakukan 3 perkara tadi, yang terakhir ialah tawakal kepada Allah swt. Kita kena sentiasa tahu dan ingat bahawa yang memberikan rezeki adalah Allah swt. Konsep tawakal membawa maksud merupakan suatu ibadah dan perintah oleh Allah Ta’ala yang termaktub di dalam KitabNya, tetapi ia bukanlah ibadah yang mempunyai ritual seperti solat, haji, puasa dan lain-lain. Ia merupakan pekerjaan hati di mana dalam ibadah ini, hati manusia perlu berusaha untuk melaksanakan tawakal. Persoalannya, bagaimanakah untuk melaksanakan tawakal? Ia bukanlah sesuatu yang mudah, dan ia juga bukanlah seperti belajar hukum-hakam solat, puasa, zakat atau haji yang memerlukan ia untuk dihafal dan diingat.

Sebelum melaksanakan tawakal, seseorang itu perlu menyedari bahawa hati merupakan elemen terpenting dalam melaksanakan ibadah, baik ibadah zahir mahupun batin. Bahkan ia adalah unsur paling utama dalam menjalani kehidupan menuju akhirat kerana hatilah penghubung di antara Pencipta dan hambaNya. Jika baik dan sihat hati seseorang itu, maka baiklah ibadah dan pekerjaan yang dilakukan oleh anggota badannya.

Konklusinya, 4 perkara ini merupakan elemen terpenting untuk dapat duit. Saya berharap pembaca dapat memahami dan sekaligus mengamalkannya. Bagi saya kaya atau senang adalah perkara subjektif tetapi yang objektifnya hanya untuk mencari keberkatan dalam hidup di dunia dan yang paling penting sekali di akhirat kelak. Sama-sama kita mendoakannya.

Wasalam.

AdzuLiza
15 RabiulAwal 1433H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...